KETUA Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berpandangan bahawa UMNO merupakan sebuah perjuangan dan survival bersama yang menuntut ketegasan prinsip serta kesiapsiagaan berterusan dalam menghadapi landskap politik negara yang sentiasa berubah.
Katanya, perjuangan UMNO tidak boleh bersifat pasif, sebaliknya perlu digerakkan melalui strategi jelas dan tersusun bagi memastikan parti itu terus relevan serta tidak terpinggir.
Menurutnya, kerjasama politik boleh dibina dengan mana-mana pihak, namun asas dan prinsip perjuangan UMNO mesti kekal dipertahankan.
“Perjuangan ini tidak boleh bersifat pasif. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, bekerjasama dengan sesiapa pun, tetapi mesti memastikan UMNO tidak ditelan, tidak hilang, dan tidak dipinggirkan.
“Walaupun UMNO berada dalam kerajaan, apabila tiba Pilihan Raya Negeri (PRU) nanti, UMNO mesti bersedia untuk berjalan sendiri. Ambillah pengajaran daripada insiden di Sabah. Jadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai model jelas, berprinsip dan berpaksikan kekuatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Seterusnya Nurul Amal, menyambut baik usaha penyatuan Rumah Bangsa UMNO yang diucapkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan dasar Presiden, semalam.
Mengenai Rumah Bangsa, beliau mengakui ada yang berat hari untuk bersetuju.
‘’Puteri sendiri pun bukan senang hendak buka hati. Mantan Ketua Puteri UMNO pun kini tidak sini lagi, tetapi kami kini berbesar hati, membuka pintu menerima kembali.
‘Penyatuan ini boleh bersama di pusat tetapi tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama di negeri. Inilah yang dinamakan interaksi kuasa hari ini. Naratif parti mesti selari dengan pelaksanaan yang dibina tidak boleh bercanggah dengan tindakan di lapangan. Kita bina naratif baru dan betulkan kembali persepsi.
“Jika membawa naratif penyatuan dan perdamaian, maka pendekatan politik yang dilaksana juga mesti mencerminkan semangat tersebut, bukan sebaliknya,” katanya.


