DUA lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan bersama sebuah van di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, Kota Kinabalu, malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.19 malam.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di bawah van.
“Seramai 11 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 14.7 kilometer dari BBP Kota Kinabalu.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah van dan motosikal. Mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut dan usaha mengeluarkan kedua-duanya segera dilakukan dengan menggunakan Air Lifting Bag.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dan seorang pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


