Kerajaan yakin jumlah sebenar dana tiris lebih besar daripada RM15.5 bilion

KERAJAAN yakin jumlah sebenar dana negara yang hilang akibat ketirisan, penipuan dan rompakan awam adalah lebih besar daripada RM15.5 bilion yang berjaya diperoleh semula dalam tempoh dua tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kejayaan memungut semula jumlah hasil negara yang besar itu menunjukkan keupayaan dan komitmen agensi-agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam membendung ketirisan berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa lebih banyak hasil negara boleh diselamatkan menerusi kesinambungan usaha yang sedang dilaksanakan.

“Kalau tanya saya, adakah (angka ini) mencukupi (setakat RM15.5 bilion sahaja)? Saya tak yakin jumlahnya hanya RM15.5 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin.

Anwar berkata kejayaan memperoleh semula RM15.5 bilion itu hasil kerjasama erat antara JKDM dan agensi penguatkuasa lain, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Beliau berkata kesemua agensi penguatkuasa itu bersama-sama mengesan, mencegah dan memulihkan dana yang hilang itu akibat ketirisan, penipuan dan salah guna bagi menyelamatkan rakyat dan negara ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img