Buruh dihukum penjara 30 tahun, 12 sebatan kesalahan edar dadah empat tahun lalu

MAHKAMAH Tinggi Sibu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang buruh selepas didapati bersalah mengedar 72.52 gram dadah jenis methamphetamine pada 2022.

Hakim Wong Siong Tung menetapkan keputusan itu terhadap tertuduh, Jeffry Lepa, 43, dan mengarahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap.

Siong Tung berkata, setelah mempertimbangkan dengan teliti keseluruhan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah semua elemen penting kesalahan yang didakwa terhadap tertuduh.

“Pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan kes prima facie pada penutupan kes, termasuk identiti dan berat bersih dadah itu, serta pemilikan, penjagaan dan pengawalan tertuduh terhadap kontraban terbabit,” katanya.

Beliau menolak hujan pembelaan bahawa terdapat pemutusan rantaian penjagaan dan percanggahan dalam berat barang kes dadah, serta memutuskan bahawa perbezaan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa disebabkan oleh penggunaan alat penimbang berbeza oleh polis dan ahli kimia, lapor Bernama.

Siong Tung juga mendapati tertuduh mempunyai kawalan eksklusif terhadap kenderaan, iaitu lokasi dadah ditemukan, dengan menyatakan bahawa tertuduh membawa polis ke kenderaan terbabit, membukanya menggunakan alat kawalan jauh serta menunjukkan beg yang mengandungi dadah itu.

Mahkamah kemudian memutuskan bahawa pembelaan tertuduh bahawa dia hanyalah pemandu yang diupah dengan bayaran RM100 dan tidak mengetahui tentang dadah terbabit adalah sesuatu yang tidak dapat dipercayai, tidak konsisten dan bercanggah dengan pengakuannya sendiri dan bukti lain, termasuk imej digital pembungkusan dadah yang terdapat dalam telefon bimbitnya.

Hakim Siong Tung turut memutuskan bahawa tertuduh gagal menyangkal anggapan pengedaran atas imbangan kebarangkalian justeru, beliau mensabitkan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Jeffry didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di Lorong Tun Ahmad Zaidi, Sibu kira-kira jam 3 petang pada 26 November 2022, di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto berhujah bahawa kesalahan itu menimbulkan ancaman besar kepada kepentingan awam dan memohon hukuman berat dikenakan, berdasarkan peranan aktif tertuduh dalam rangkaian pengedaran dadah terancang.

Jeffry diwakili peguam Jacob Wong dan Jessie Wong.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img