Bomba Melaka ambil masa lebih sejam bantu lelaki obesiti 350 kilogram ke hospital

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa lebih satu jam untuk membantu seorang lelaki obesiti seberat 350 kilogram ke hospital di Taman Sri Gemilan, Sungai Baru awal pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 3.08 pagi.

‘’Mangsa berusia 40 tahun yang merupakan seorang guru berada dalam keadaan tidak berdaya di dalam bilik air rumahnya dan memerlukan bantuan untuk dipindahkan. Maklumat awal diperoleh daripada isteri mangsa yang memaklumkan bahawa mangsa mengalami demam sejak seminggu lalu dan sedang bercuti sakit (MC).

“Mangsa juga mempunyai sejarah asma serta mengalami sakit pada bahagian kaki akibat jangkitan kuman, menyebabkan beliau tidak mempunyai tenaga untuk bergerak,” katanya.

Mohd Hafidzatullah berkata, operasi mengambil masa lebih lama berikutan ruang bilik air yang sempit, selain anggota bomba perlu memberi masa kepada mangsa yang sedang menahan kesakitan sebelum dipindahkan.

“Mangsa tidak terjatuh, sebaliknya berada dalam keadaan lemah kerana tidak makan dan tidak mempunyai tenaga untuk bergerak. Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dari bilik air,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa menggunakan lori angkut bomba dengan diiringi pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Alor Gajah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img