JIM tumpas sindiket ‘Badul’ tipu kuota pekerja asing, kaut hampir RM1 juta setahun

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan kuota pekerja asing yang dikenali sebagai ‘Badul’ menerusi Ops Serkap dalam serbuan di sebuah premis kedai di Jalan Desa Pandan, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai sembilan individu berusia lingkungan 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan kepada syarikat terbabit dengan menjual dan mengagihkan tenaga kerja asing kepada pihak ketiga tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Setiap permohonan dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000 sekali gus membolehkan sindiket terbabit meraih keuntungan hampir RM1 juta setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih mengejutkan, sindiket berkenaan turut menyediakan surat cuti palsu sebagai helah sekiranya pekerja asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan.

Zakaria berkata, sindiket ini turut menguruskan pembebasan pekerja asing yang ditangkap oleh pihak berkuasa dengan mengenakan bayaran tertentu, seolah-olah undang-undang boleh dirunding dan dibeli.

“Sindiket ini turut bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa dengan bayaran tertentu, tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini aktif membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran pihak berkuasa di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Ini mencerminkan satu bentuk penyalahgunaan sistem imigresen negara secara terancang yang bukan sahaja menindas pekerja asing tetapi turut mengancam keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara,” katanya.

Tambah beliau, hasil penggeledahan menemui 22 pasport Indonesia, 20 pasport Bangladesh, lima pasport Pakistan dan satu pasport India.

“(Turut disita) sebanyak 497 keping i-Kad pekerja asing, 38 keping kad CIDB, wang tunai berjumlah kira-kira RM13,000 serta pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses permohonan pekerja asing secara tidak sah.

“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img