DOCM sambut ulang tahun ke-10, berkembang bukan sekadar kelab motosikal

DUCATI Official Club Malaysia (DOCM) hari ini meraikan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Ke-10 serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-9 dalam satu majlis gala berprestij di Hotel Sama-Sama, Sepang, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sahot, Seni dan Budaya, yang mewakili, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk  Seri Tiong King Sing

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri  Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, serta Presiden Ducati Official Club Malaysia (DOCM), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin, bersama barisan kepimpinan dan ahli DOCM dari seluruh negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Shaharuddin merakamkan tahniah kepada Ducati Official Club Malaysia atas kejayaan membina sebuah komuniti permotoran yang berdisiplin dan berprestij dengan lebih 1,800 ahli berdaftar sepanjang sedekad penubuhan.

Menurut beliau, DOCM bukan sekadar sebuah kelab motosikal, malah telah berkembang sebagai platform profesional yang memupuk disiplin, keselamatan, semangat kesukarelawanan serta imej positif Malaysia di peringkat global.

“Penglibatan aktif Ducati Official Club Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya penyertaan dalam World Ducati Week (WDW) di Itali, telah membawa nama Malaysia ke mata dunia. DOCM juga merupakan antara kelab Ducati terbesar yang menghantar 100 delegasi dari Malaysia merentasi beberapa negara Eropah termasuk Itali, Switzerland, Jerman dan Austria,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan ini secara tidak langsung menyokong usaha promosi pelancongan negara serta mengukuhkan jenama Tourism Malaysia melalui pendekatan motorcycle tourism yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Majlis itu turut mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan kelab permotoran berdaftar dalam memupuk budaya menunggang yang bertanggungjawab, mematuhi undang-undang serta menyumbang kepada keselamatan jalan raya dan keharmonian sosial.

Pada majlis sama, penghargaan turut diberikan kepada Ahli Jawatankuasa dan sukarelawan DOCM yang menjadi tulang belakang kejayaan kelab sepanjang 10 tahun penubuhannya, selain menyokong pelbagai program kebajikan, keselamatan dan aktiviti berimpak tinggi.

Kerajaan turut menggalakkan Ducati Official Club Malaysia untuk terus meneroka penganjuran acara dan program bertaraf antarabangsa di Malaysia, yang bukan sahaja mengukuhkan ekosistem permotoran negara, malah berpotensi menarik kehadiran pelancong luar serta merancakkan industri pelancongan dan hospitaliti negara.

Sambutan Ulang Tahun Ke-10 ini menandakan satu dekad kejayaan DOCM sebagai duta tidak rasmi Malaysia dalam arena permotoran dua roda di persada antarabangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img