SPRM reman dua anggota AADK disyaki minta dan terima rasuah RM2,000

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman dua anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 sebagai balasan menyelesaikan kes narkotik.

Perintah reman selama empat hari bermula 10 sehingga 13 Februari depan terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pagi semalam.

Menurut sumber, kedua-dua suspek wanita berusia lingkungan 30 dan 40-an itu telah ditahan antara jam 2 hingga 5 petang Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025.

“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai kira-kira RM2,000 daripada seorang individu bagi menyelesaikan kes positif dadah saringan ujian air kencing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img