DUA pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM39,000 sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan permit kerja warga asing di negeri ini.
Perintah reman sehingga 9 Mac terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Turut ditahan bersama mereka ialah seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam urusan berkenaan, namun individu tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.
Siasatan awal mendapati kedua-dua pegawai berkenaan disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara Januari hingga Februari 2026 dengan meminta wang rasuah daripada ejen sebuah syarikat melalui orang tengah sebagai balasan untuk meluluskan permit kerja warga asing.
Kedua-duanya dipercayai telah menerima wang rasuah permulaan kira-kira RM4,000 melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing, manakala baki sebanyak RM35,000 masih dalam proses berkaitan permohonan permit warga asing terbabit.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.


