SEORANG lelaki bertindak menikam isterinya sebelum dipercayai membunuh diri dalam satu kejadian tragis di sebuah kediaman, Jalan Daun Inai 4 Sunway SPK, Damansara Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 11.43 pagi menerusi panggilan MERS 999 yang memaklumkan terdapat seorang lelaki dan seorang perempuan ditemui terbaring dalam bilik di alamat berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun ditemui dengan kesan tikaman di bahagian leher.
“Manakala, seorang wanita warga tempatan berusia 52 tahun pula ditemui dengan 13 kesan tikaman iaitu 10 di leher, satu di tangan kiri dan dua di badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa ditemui terbaring di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri terbabit,” katanya.
Ahmad Sukarno berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


