Mangsa rentung disahkan suami isteri, pemandu Porsche disyaki mabuk

DUA mangsa rentung dalam sebuah kereta yang terbakar akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah Porsche Cayenne di Kilometer 134, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan berhampiran Taman Tualang Indah, Mentakab, Temerloh awal pagi ini, disahkan pasangan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, pasangan berusia 34 dan 35 tahun berkenaan dipercayai terperangkap di dalam kereta jenis Proton Preve yang terbakar.

Beliau berkata, pemandu SUV jenis Porsche berusia 28 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan, manakala SUV terbabit juga datang dari arah yang sama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, SUV tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang Proton Preve,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.

“Dalam kejadian itu, Proton Preve terbakar dan mengakibatkan pemandu serta penumpangnya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Porsche Cayenne terbabit disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

“Sampel darah dan air kencing pemandu berkenaan telah diambil bagi tujuan analisis toksikologi dan kini sedang menunggu keputusan.

“Permohonan reman ke atas lelaki itu telah dibenarkan selama empat hari sehingga 17 Februari ini,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, dua rentung selepas kereta Proton Preve dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berhampiran stesen minyak di Taman Tualang Indah, Temerloh tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, nahas membabitkan Proton Preve dinaiki mangsa dan sebuah Porsche Cayenne.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img