Sambutan Tahun Baharu Cina serlah perpaduan rakyat Malaysia – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan bersama pelbagai kaum menyerlahkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, kehadirannya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di ibu negara hari ini adalah untuk bersama-sama meraikan perayaan itu yang disifatkan sebagai sambutan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya hanya datang untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh MCA dan ini bukan sahaja satu kumpulan, tetapi sambutan semua rakyat.

“Saya lihat sambutan itu sangat baik dan menunjukkan perpaduan kita,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Anwar berkata, Tahun Kuda yang disambut tahun ini melambangkan kekuatan dan tenaga yang diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.

“Saya ingin ucapkan Tahun Kuda ini tahun kuda berapi yang memacu pertumbuhan yang lebih hebat dan segar. Kuda simbolnya kencang, kekuatan tenaga yang hebat dan menunjukkan mudah-mudahan prestasi ekonomi dan pembangunan rakyat Malaysia akan jauh lebih baik tahun ini,“ katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan lain antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Presiden MCA, Tan Sri Tan Koon Swan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Pada majlis itu, Anwar bersama-sama tetamu kehormat menggaul Yee Sang, hidangan tradisional yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Mengikut kalendar lunar, tahun ini merupakan Tahun Kuda yang dalam kepercayaan masyarakat Cina melambangkan semangat, ketekunan dan kemajuan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img