SEORANG lelaki yang ditemukan dalam keadaan separuh badannya terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Jalan Byram di Nibong Tebal malam tadi, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada kepala dipercayai berpunca daripada hentakan objek tumpul.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, perkara itu disahkan berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) hari ini.
Beliau berkata, setakat ini identiti mangsa dan suspek yang terbabit masih belum dikenal pasti.
Katanya, polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan individu yang bertanggungjawab.
“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan akibat objek tumpul pada bahagian kepala (blunt force injuries to the head).
“Pihak polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian, serta mengesan individu yang terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-828 2212 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan.
Kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemukan orang awam dalam keadaan separuh badannya terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Ladang Byram, kira-kira jam 11 malam tadi.
Pemeriksaan awal polis bersama pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala mangsa, selain kesan darah berhampiran tali air berkenaan.





