Anwar tekad terus bekerja keras demi kesejahteraan rakyat

DATUK Seri Anwar Ibrahim bertekad meneruskan usaha memperkukuh ekonomi negara, memperbaiki tatakelola pentadbiran serta meningkatkan kesejahteraan rakyat sepanjang baki penggal pentadbiran Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri berkata, usaha memulihkan ekonomi dan mengangkat martabat rakyat yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu akan terus menjadi keutamaan kerajaan.

“Alhamdulillah sepanjang empat tahun ini, kita telah bersama-sama berusaha memulihkan ekonomi negara, memperbaiki tatakelola dan mengangkat martabat rakyat.

“Insya-Allah dalam baki penggal ini, saya akan terus bekerja keras untuk kesejahteraan saudara dan saudari, dan untuk Malaysia yang kita cintai,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Dalam hantaran itu, beliau turut memuat naik video berdurasi satu minit bertajuk 4 Years of PMX memaparkan pencapaian dan kejayaan yang dilaksanakan oleh beliau selama empat tahun bergelar Perdana Menteri.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada gabungan parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika itu menghimpunkan beberapa gabungan politik bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara selepas keputusan pilihan raya yang menyaksikan persaingan sengit antara blok politik utama.

Sejak mengambil alih pentadbiran, kerajaan memperkenalkan kerangka Malaysia MADANI sebagai landasan dasar pembangunan negara yang memberi penekanan kepada aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Antara tumpuan pentadbiran sepanjang tempoh berkenaan termasuk usaha menarik pelaburan, memperkukuh kedudukan fiskal negara, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menangani isu kos sara hidup yang terus menjadi perhatian rakyat.

Memasuki tahun keempat pentadbiran, kerajaan sedang berusaha memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat, selain mengekalkan keyakinan terhadap institusi dan sistem penyampaian kerajaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here