Scam : tawaran kerja palsu, suara AI ‘senjata’ perangkap mangsa

LAPORAN KHAS:

SINDIKET penipuan dalam talian kini semakin licik dengan menggunakan pelbagai modus operandi baharu termasuk menyamar sebagai platform e-dagang, pegawai agensi kerajaan serta menggunakan teknologi suara janaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperdaya mangsa.

Berdasarkan perkongsian menerusi Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), antara helah yang paling kerap digunakan ketika ini ialah tawaran menjana pendapatan melalui platform e-dagang dan dropshipping palsu.

Scammer akan memaparkan keuntungan rekaan dalam sistem kononnya sebagai bukti kejayaan sebelum meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat bagi membeli stok atau melengkapkan pesanan.

Namun, selepas wang dimasukkan, mangsa dihalang mengeluarkan keuntungan dan terus diminta membuat bayaran tambahan sehingga akhirnya menyedari diri telah menjadi mangsa penipuan.

Selain itu, taktik penipuan melalui panggilan telefon turut mencatatkan kerugian besar apabila sindiket menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti penipuan.

Grafik: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM.

Dalam satu kes, seorang wanita warga emas berusia 63 tahun dilaporkan kerugian lebih RM1 juta selepas diarahkan membuat beberapa bayaran kononnya bagi menyelesaikan siasatan palsu sebelum diminta memasukkan wang sekali lagi.

JSJK menegaskan bahawa NSRC, polis atau mana-mana agensi penguat kuasa tidak akan menjalankan sebarang siasatan, membekukan aset atau meminta bayaran melalui panggilan telefon.

Taktik lain yang semakin berleluasa ialah penjualan kad ATM serta penyewaan akaun bank yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram dan jenayah siber. Pemilik akaun yang menyerahkan kad ATM, nombor PIN atau maklumat perbankan kepada pihak lain boleh dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang.

Dalam pada itu, penipuan pelaburan tidak wujud terus menjadi ancaman terbesar apabila sindiket lazimnya menawarkan pulangan tinggi dengan risiko rendah, memberi tekanan untuk bertindak segera serta menggunakan individu berpengaruh bagi meyakinkan mangsa.

Tawaran pinjaman segera palsu turut dijadikan umpan apabila penipu menyamar sebagai syarikat kewangan, koperasi atau bank sebelum meminta bayaran pendahuluan seperti yuran proses dan duti setem. Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, ‘pemberi pinjaman’ akan menghilang dan mangsa tidak menerima sebarang wang.

Di media sosial pula, tawaran pekerjaan mudah bergaji lumayan terus menjadi perangkap utama apabila mangsa diminta melakukan tugasan dan membuat bayaran berulang sehingga wang lesap.

JSJK turut mendedahkan sekurang-kurangnya 30 sekolah menengah telah menjadi mangsa sindiket yang menyamar sebagai pihak pengurusan sekolah menggunakan suara janaan AI untuk membuat pesanan pukal palsu.

Dalam masa sama, kes love scam masih berlaku apabila penipu menggunakan profil palsu, cerita sedih bagi meraih simpati serta enggan bertemu secara bersemuka sebelum meminta wang dan maklumat perbankan.

Justeru, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran yang kelihatan terlalu mudah dan tidak munasabah.

Orang ramai yang menjadi mangsa digesa segera menghubungi pihak bank bagi menyekat transaksi mencurigakan serta membuat laporan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 selain melaporkan kejadian kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img