Pegawai JPJ dakwa dibaling mercun ketika operasi di Rawang

SEKUMPULAN penunggang motosikal bertindak liar dengan membaling mercun ke arah pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika rondaan sempena operasi trafik berhampiran Lebuhraya LATAR, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota JPJ menjalankan rondaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar Lebuhraya LATAR dan kawasan Tasik Puteri sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri.

Motosikal berkenaan ditahan selepas penunggang dan pemboncengnya didapati tidak memakai topi keledar.

Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kesalahan lain termasuk menunggang tanpa lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans. Susulan itu, notis kesalahan dikeluarkan terhadap kedua-dua individu terbabit.

Bagaimanapun, ketika pegawai JPJ sedang mengeluarkan notis, sekumpulan penunggang motosikal dianggarkan antara 20 hingga 30 orang didakwa mula membaling mercun beberapa kali dari kawasan bukit berhampiran deretan kedai baharu.

Sebahagian daripada kumpulan itu kemudian menghampiri anggota penguat kuasa dan penunggang yang disaman sebelum beredar dari lokasi.

Beberapa individu yang masih berada di tempat kejadian terus membaling mercun ke arah pegawai JPJ dan penunggang terbabit, manakala yang lain didakwa melakukan provokasi di lampu isyarat berhampiran dengan mengaumkan ekzos motosikal serta menjerit kata-kata kesat. Atas faktor keselamatan, pasukan JPJ beredar selepas selesai tindakan penguatkuasaan.

Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan ketika dihubungi NST mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan itu kerana boleh mengundang risiko kepada anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.

“Kami tidak berkompromi dengan mana-mana pihak menghalang tugas penguatkuasaan atau bertindak agresif terhadap pegawai yang menjalankan tanggungjawab. Saya sudah mengarahkan anggota terbabit membuat laporan polis berhubung insiden itu,” katanya.

Beliau berkata, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan undang-undang trafik dan menggesa orang ramai menghormati anggota penguat kuasa serta mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img