ANAK muda diseru agar mendekati masjid dan menjadikannya sebagai pusat pembangunan ilmu, akhlak serta kekuatan rohani, khususnya sepanjang Ramadan yang disifatkan sebagai `madrasah terbaik’ untuk membina jati diri umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mengimarahkan masjid bukan sekadar hadir untuk beribadah, sebaliknya memahami tujuan sebenar pembinaannya seperti yang disebut dalam al-Quran, iaitu mendirikan solat dan menunaikan zakat.
“Ini adalah untuk mendekatkan anak-anak muda. Supaya lebih mengimarahkan masjid. Dan dengan itu mendalami ilmunya. Dan memperkukuh amalnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di ibu negara hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Perdana Menteri berkata, golongan muda yang mempunyai semangat, dedikasi dan minat terhadap agama tidak akan mudah gentar berdepan cabaran atau ujian manusia, sebaliknya hanya takut kepada Allah SWT.
Selain itu, Anwar turut menekankan kepentingan pendidikan yang seimbang, bukan sahaja dalam bidang teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan Matematik, tetapi juga berteraskan asas akidah serta adab.
“Jangan kita tinggalkan hormat kepada. Orang-orang yang bersihkan. Yang membersihkan kawasan kita, untuk memahami keburukan mereka nasib mereka dan kebajikan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan pembinaan generasi masa depan perlu berlandaskan keseimbangan antara kemajuan intelektual dan kekuatan spiritual.


