LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dikeluarkan hari ini mendedahkan ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun kewangan 2024.
Menurut Ringkasan LKAN Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024, kutipan hasil yuran keseluruhan pelajar bagi program SPEND dan DPLI berjumlah RM60.77 juta.
Daripada jumlah itu, UKM merekodkan kutipan sebanyak RM2.43 juta, manakala RM50.74 juta dikutip melalui koperasi. Bagaimanapun, sebanyak RM7.60 juta masih belum diterima.
Laporan itu mendedahkan kutipan yuran pelajar tanpa kuasa berjumlah RM50.74 juta dan perjanjian kerjasama tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan.
Selain itu, audit mendapati yuran pelajar tidak direkod sebagai hasil UKM berjumlah RM32.36 juta daripada keseluruhan hasil yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta.
Daripada RM50.74 juta yuran pelajar yang dikutip koperasi, agihan RM21.02 juta lewat diserah kepada UKM, dalam tempoh 31 hingga 291 hari.
Turuti dikesan, yuran pelajar berjumlah RM5.32 juta masih belum diserahkan kepada UKM, dalam tempoh satu sehingga melebihi tiga tahun.
Audit juga mendapati wujud konflik kepentingan di mana lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam koperasi.
Dalam laporan sama, audit turut mengesan ketidakaturan dalam perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan di UKMShape dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah RM57.67 juta.
Daripada jumlah berkenaan, RM6.69 juta dikenal pasti sebagai perbelanjaan tidak teratur.
Berdasarkan laporan itu, audit mengesan pemberian komisen kepada ejen yang tidak layak berjumlah RM5.94 juta.
UKM juga didapati menampung perbelanjaan kepada luar negara kepada enam individu bukan kakitangannya berjumlah RM107,907 juta.
Selain itu, audit mengesan Elaun Pelajar Sangkutan Industri kepada pelajar yang tidak layak berjumlah RM35,000 dan pendahuluan bagi penyelarasan program khas tanpa kelulusan sah membabitkan perbelanjaan sebanyak RM200,000.
Perolehan bernilai RM403,500 turuti dikesan tidak dibuat melalui Jawatankuasa Sebut Harga.
Sehubungan itu, audit merumuskan bahawa terdapat ketidakaturan yang serius dan pelanggaran tata kelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM, yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan.
Audit mengesyorkan agar menyemak dan memantau keseluruhan kutipan yuran pelajar oleh koperasi bagi memastikan semua yuran pelajar diserahkan mengikut ketetapan kontrak dan mengelakkan sebarang kelewatan.
“Tindakan juga hendaklah diambil bagi mengutip baki yuran pelajar yang belum diserahkan kepada UKM. Mengkaji semua perjanjian kerjasama sedia ada dan apa-apa perjanjian akan datang berhubung dengan yuran pelajar.
“UKM juga hendaklah memastikan perjanjian dibuat selaras dan berpandukan sepenuhnya kepada peruntukan Perlembagaan UKM sebagai instrumen perundangan yang mengawal kuasa serta fungsi universiti,” kata laporan itu, seperti dilapor BH.


