SEORANG Exco kerajaan negeri Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan melibatkan ahli keluarganya.
Tertuduh, Datuk Hanafiah Mat yang juga Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustafa.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 15 Ogos 2020 telah menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon jaminan sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 12 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim.


