KENDERAAN Proton X70 yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, bagaimanapun dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat daripada terkena peluru selepas tembakan dilepaskan suspek tidak dikenali.
Beliau berkata, suspek yang menaiki motosikal dipercayai melepaskan tembakan ke arah Mohd Nasaruddin yang ketika itu dalam perjalanan ke masjid bagi menunaikan solat Subuh.
“Ketika kejadian, Mohd Nasaruddin dilaporkan berada di dalam kenderaan sebelum suspek menghampiri dan melepaskan dua das tembakan ke arahnya.
“Tembakan itu terkena di pintu belakang sebelah kanan, manakala satu lagi terkena di pintu hadapan penumpang sebelah kiri.
“Suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian dan mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada sidang media di Bukit Kayu Hitam, hari ini, lapor Buletin TV3.


