KEJAYAAN Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam melakukan pelbagai rampasan barangan terlarang sejak 14 bulan lalu mungkin menyebabkan ada pihak terjejas.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain itu, AKPS Bukit Kayu Hitam baru sahaja selesai melaksanakan operasi bersepadu pada 15 Januari hingga 15 Februari lalu, dengan hasil rampasan bernilai RM3.1 juta.
Katanya, ia adalah rekod rampasan tertinggi di pintu masuk itu dan berkemungkinan mendorong kepada tercetusnya serangan ke atas Komander AKPS, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, awal pagi tadi.
“Ini adalah first case (kes pertama) tetapi kira-kira empat minggu lalu, antara ucapan kepada semua komander, telah saya zahirkan akan beberapa ancaman ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggota di sini.
“Kita ambil kejadian ini sebagai perkara yang perlu diambil perhatian tetapi kejadian pagi tadi, kita tidak menjangka hingga ke tahap ini.
“Dengan apa yang berlaku ini, jelas dan ketara sememangnya ada orang yang terjejas dengan penguatkuasaan yang sedang dilakukan AKPS,” katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Shuhaily berkata, amaran mengenai kemungkinan berlaku serangan berikutan tindakan AKPS mengetatkan pergerakan di kawasan sempadan sudah dikeluarkan sejak empat bulan lalu.
Berikutan itu katanya, semua pegawai dan anggota sudah diminta berhati-hati terutama ketika melaksanakan tugasan harian dan melakukan pemeriksaan di sempadan.
“Untuk orang awam, tak perlu bimbang. Ini adalah perkara terpencil yang tidak membabitkan orang awam. Mereka boleh terus menggunakan kemudahan di ICQS ini seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, agensi itu turut mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail termasuk dalam mempertingkatkan aspek keselamatan agensi itu.
“Antara benda yang kita lihat di sini adalah pegawai AKPS tidak dibekalkan dengan senjata api. Itu adalah salah satu yang mungkin boleh diperbaiki dalam masa terdekat.
“Begitu juga jaket kalis peluru dan peralatan sebagainya, perkara ini boleh menjamin keselamatan anak buah saya bekerja dengan lebih selamat,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan Mohd Nasaruddin, beliau berkata, pegawai itu berada dalam keadaan stabil dan kekal bersemangat tinggi untuk meneruskan tanggungjawabnya.
“Beliau datang dari unit yang sememangnya telah terlatih. Ini bukan kejadian biasa, tapi beliau sudah terlatih untuk kawal emosi dan reaksi.
“Kita nampak dia tenang dan selamat, masih komited dengan kerja beliau dan itu yang kita mahu daripada semua anggota dan pegawai di Bukit Kayu Hitam,” katanya
Media sebelum ini melaporkan, kenderaan dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak awal pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam.


