Tercorot Indeks Perpaduan Nasional: Sanusi sifatkan ‘’kajian tak berpijak di bumi nyata’’

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor menolak laporan Indeks Perpaduan Nasional 2025 yang meletakkan negeri itu di tangga tercorot.

Beliau  menyifatkan kajian itu yang memberikan skor 0.593 kepada Kedah sebagai ‘tolol’ dan tidak berpijak di bumi nyata dan  tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj politik oleh pihak tertentu yang mahu memburukkan imej negeri itu di mata pelabur antarabangsa.

“Saya tak percaya kepada dapatan tersebut. Tengoklah angka-angka Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) kalau nak tahu tentang kemasukan pelabur.

“Kedah mencatatkan pelaburan antara tiga negeri tertinggi sejak 2020 dan menjadi yang tertinggi dalam sektor pembuatan di seluruh negara beberapa tahun berturut-turut. Apa lagi bukti yang dimahukan?” katanya lapor FMT.

Sanusi turut mencabar pihak yang meragui tahap keharmonian di Kedah melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negeri Jelapang Padi tersebut.

“Datanglah duduk di Kedah, tengok sendiri bagaimana kami menguruskan kehidupan yang harmoni dan bersatu padu antara semua kaum yang ada di sini…Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli dan lain-lain. Semua baik-baik saja,” katanya.

Kementerian Perpaduan Negara semalam yang menyaksikan Kedah mencatatkan skor terendah iaitu 0.593, jauh di bawah purata nasional 0.701.

Enam lagi negeri dan Wilayah Persekutuan yang menunjukkan skor bawah purata nasional adalah Perak dengan 0.648, Kelantan (0.654), Kuala Lumpur (0.659), Selangor (0.675), Pulau Pinang (0.692) dan Putrajaya (0.693).

Dapatan kajian yang turut membabitkan 9,448 responden pelbagai etnik itu menunjukkan faktor etnisiti menjadi defisit sosial paling dominan pada kadar 60.3%, diikuti faktor media dengan sebanyak 57.2%, politik dan federalisme (56.9%), agama (56.7%) dan kelas sosial (47.5%).

Lima lagi faktor defisit sosial yang turut dilihat untuk menilai persepsi responden adalah pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender dan ruang bandar – desa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img