Kastam bongkar seludup e-waste, rokok tidak bercukai RM1.84 juta

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka membongkar cubaan menyeludup sisa elektronik (e-waste) dan rokok tidak bercukai bernilai keseluruhan RM1.84 juta dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.

Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff, berkata pada jam 11.35 pagi 11 Februari lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri menjalankan pemeriksaan terhadap empat kontena di Pelabuhan Utara Klang, Selangor.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati empat kontena itu membawa muatan keseluruhan 88,270 kilogram e-waste dianggarkan bernilai RM660,000 dan semuanya disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, berdasarkan dokumen, kontena itu diimport dua syarikat tempatan beralamat di Selangor, namun pemeriksaan lanjut mendapati komoditi dibawa adalah sisa barangan elektrik dan elektronik (e-waste).

Semua barangan itu dipercayai diimport dari negara ASEAN tanpa permit sah dan diikrar secara tidak tepat dalam borang pengikraran dagangan import.

“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang mewakili ejen perkapalan bagi menguruskan kemasukan kontena terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh, hari ini, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Roslan berkata, JKDM Melaka turut menumpaskan kegiatan penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai dalam dua serbuan di daerah Melaka Tengah.

Serbuan pertama diadakan di sebuah kediaman tidak berpenghuni pada jam 3.30 petang menemukan 818,600 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM624,263 termasuk cukai.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian rokok ditampal setem cukai kastam palsu, manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang setem cukai,” katanya sambil menjelaskan modus operandi sindiket menjadikan rumah kosong sebagai stor simpanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, pada hari sama kira-kira jam 4 petang, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah premis perniagaan memaparkan papan tanda pusat pembaikan cermin kereta.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik operasi itu, pihaknya menemui 746,200 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM558,157 termasuk cukai dan dipercayai disimpan untuk pasaran tempatan.

“Jumlah keseluruhan rampasan rokok bagi kedua-dua serbuan itu sebanyak 1,564,800 batang dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan boleh didenda berat serta penjara.

“JKDM akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pengedaran barangan tidak bercukai dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img