SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menunjukkan komitmen tinggi membanteras salah laku dan rasuah menerusi pendedahan pelbagai modus operandi termasuk membabitkan perolehan kerajaan, penguatkuasaan serta perjanjian mega antarabangsa.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 7 Bil.1 Tahun 2026 di Dewan Persidangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Putrajaya hari ini.
Beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada SPRM atas pendekatan proaktif serta komitmen berterusan dalam memastikan Malaysia bebas daripada sebarang bentuk salah laku dan amalan rasuah.
“Pelbagai modus operandi rasuah berjaya didedahkan termasuk kes membabitkan perolehan ketenteraan, pengimportan sisa e-waste serta terkini perjanjian mega antara Kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat asing.
“Saya berharap segala operasi dan tindakan penguatkuasaan ini menjadi peringatan dan pengajaran kepada semua pihak khususnya penjawat awam agar sentiasa mematuhi undang-undang, menjunjung nilai integriti dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas pelancaran tagline baharu SPRM, “Berani dan Radikal Perangi Rasuah”, yang disifatkan mencerminkan iltizam, ketegasan serta kesungguhan agensi itu memerangi rasuah demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, isu kemasukan sisa plastik dan e-waste ke negara ini memerlukan tindakan segera serta penyelarasan menyeluruh antara agensi.
Beliau berkata, tindakan siasatan dan pelupusan lebih 800 kontena e-waste sedang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Tindakan perlu disegerakan tanpa sebarang kelewatan selaras dengan arahan penguatkuasaan yang telah ditetapkan. Di Pelabuhan Klang, AKPS berperanan sebagai penyelaras manakala JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JAS perlu hadir ke lokasi sekiranya terdapat maklumat atau aduan.
“Bagi laluan darat pula, PDRM akan menggabungkan mana-mana agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. Kita juga sedang meneliti cadangan moratorium dan pandangan mengenainya akan dibawa ke Mesyuarat JTK Nasional yang akan dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, DCP Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas dengan menahan kontena yang disyaki mengandungi e-waste sehingga pengesahan dibuat oleh JAS.
Menurutnya, dalam operasi terbaharu, sebanyak 58 kontena telah dirampas.
“AKPS akan memastikan setiap penahanan direkodkan dengan lebih sistematik dan pelepasan hanya dibuat melalui mesyuarat kes. JKDM pula akan menyenaraikan kontena dalam senarai induk bagi tujuan pengasingan sama ada telah diperiksa atau sebaliknya.
“JAS juga diwajibkan hadir ketika pembukaan kontena, manakala AKPS sedang membangunkan kaedah risikan bagi mengenalpasti kontena berisiko tinggi. Sekiranya melanggar undang-undang, kontena berkenaan akan ditolak keluar,” katanya.
Turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman;
Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan; Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, KPKPj Sudirman Aban: Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, TPj Lim Bee Kean; Ketua Pengarah AKPS, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Ketua-ketua Setiausaha (KSU) Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).


