SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini telah mendaftarkan Penentuan Suruhanjaya mengenai Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar, selaras dengan peruntukan Seksyen 55 dan 104(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
MCMC dalam satu kenyataan memberitahu, Pengeluaran Standard Mandatori ini merupakan langkah pengawalseliaan penting bagi menutup ruang penyalahgunaan pendaftaran prabayar yang sering dieksploitasi untuk penipuan dalam talian dan penyamaran identiti.
Menurut MCMC, peruntukan yang telah diperkukuh ini diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan pengguna dengan mencegah penyalahgunaan identiti, penipuan, serta penggunaan kad SIM tanpa kebenaran, serta memastikan perkhidmatan mudah alih kekal mudah diakses serta selamat untuk semua pengguna.
Pada masa yang sama, MCMC menegaskan bahawa pelaksanaan Standard Mandatori ini mengambil kira keseimbangan antara keperluan keselamatan, kemudahan akses pengguna serta perlindungan data peribadi.
”Standard Mandatori ini memperkenalkan rangka kerja masa hadapan yang merangkumi pengesahan biometrik dan MyDigital ID bagi pendaftaran kendiri, penggunaan platform automatik selamat secara mandatori untuk mengurangkan pendaftaran palsu, serta kawalan lebih ketat bagi pendaftaran bukan warganegara termasuk pengesahan pasport berasaskan biometrik,’’ kata MCMC.
Standard Mandatori ini merangkumi beberapa langkah perlindungan utama yang berfokuskan kepada pengguna, seperti mana dalam jadual di bawah:

Penyedia perkhidmatan serta pengedar yang dilantik diingatkan untuk memastikan Standard Mandatori ini dilaksanakan sepenuhnya dan tepat pada masanya.
Sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan pengawalseliaan demi mewujudkan ekosistem komunikasi yang lebih selamat dan terjamin. MCMC turut menasihatkan pengguna supaya mendaftar kad SIM prabayar hanya melalui penyedia perkhidmatan berlesen serta pengedar yang dibenarkan, dan sentiasa berwaspada terhadap saluran pendaftaran yang tidak sah.


