Tiga pegawai ATM didakwa hari ini atas kematian pelatih Palapes UTM – KPN

TIGA pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pagi ini atas pertuduhan membunuh tanpa niat susulan kematian seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berkhidmat sebagai jurulatih Palapes universiti itu sebelum ini disiasat atas kesalahan membunuh susulan kematian pelatih, Syamsul Haris Shamsudin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk meneruskan pendakwaan dengan pertuduhan yang lebih ringan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, polis menerima semula kertas siasatan yang telah dilengkapkan daripada AGC pada Selasa lalu.

“Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya tiga (3) jurulatih Palapes yang merupakan pegawai Angkatan Tentera Malaysia didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh tanpa niat yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh,” katanya.

Siasatan awal polis dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun.

Dengan pengelasan pendakwaan di bawah Seksyen 304(a), ketiga-tiga tertuduh tidak lagi berdepan pertuduhan yang membawa hukuman mati.

Jika disabitkan kesalahan membunuh tanpa niat, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta denda.

Ketiga-tiga mereka dijadualkan untuk didakwa secara rasmi di hadapan hakim Mahkamah Sesyen pada jam 9 pagi ini.

Berikutan perhatian umum yang meluas terhadap kematian pelajar universiti itu ketika menjalani latihan ketenteraan, Mohd Khalid mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan kematian Syamsul Haris.

Beliau menegaskan bahawa dengan proses pertuduhan dan perbicaraan jenayah yang kini bermula secara rasmi, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses perundangan berjalan mengikut lunas undang-undang serta menghormati prinsip sistem keadilan jenayah negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img