PRESIDEN Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengadakan siri panggilan telefon dengan pemimpin Amerika Syarikat (AS), negara Teluk dan Eropah susulan serangan yang dilancarkan Israel dan AS terhadap Iran serta serangan balas oleh Tehran, lapor Direktorat Komunikasi Turkiye.
Menurut laporan Agensi Anadolu (AA), Erdogan berhubung dengan Presiden AS, Donald Trump bagi membincangkan situasi terkini di Iran dan wilayah Teluk serta perkembangan semasa yang sedang berlaku.
Dalam perbualan dengan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Erdogan menerima maklumat mengenai situasi di negara berkenaan susulan serangan Iran.
Presiden Turkiye itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud atas serangan yang menyasarkan negara mereka, selain membincangkan situasi serantau semasa perbualan itu.
Sewaktu berbual dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Erdogan memberi amaran bahawa tanpa campur tangan yang sewajarnya, konflik terbabit boleh membawa kesan serius kepada keselamatan serantau dan global.
Beliau menegaskan bahawa Turkiye dan Arab Saudi mempergiat usaha serius untuk menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan memberi peluang kepada diplomasi kekal sebagai langkah yang paling rasional.
Erdogan turut menghubungi Amir Kuwait, Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah bagi menzahirkan rasa dukacita susulan serangan ke atas Kuwait.
Dalam pada itu, semasa panggilan telefon dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, Erdogan membincangkan serangan ke atas Iran dan konflik yang tercetus, sambil mengulangi gesaan Ankara agar semua pihak kembali ke meja rundingan dan diplomasi.
Beliau turut menyatakan kesediaan Turkiye untuk menyokong usaha damai.
Beliau menekankan kepentingan penyelarasan erat antara Turkiye dan Kesatuan Eropah (EU) sepanjang proses itu.
Kempen ketenteraan bersama AS-Israel yang dilancarkan pada Sabtu mengorbankan beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara Teluk. Seramai tiga anggota tentera AS dilaporkan terbunuh, manakala lima lagi cedera parah.


