KERAJAAN memandang serius isu penyebaran fitnah, tohmahan dan rujukan palsu yang sengaja disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan itu jelas bertujuan memburukkan usaha kerajaan dan menggugat ketenteraman awam dengan mencampuradukkan isu berbeza demi mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, berhubung isu penodaan al-Quran yang membabitkan seorang mahasiswa, individu terbabit telah ditahan polis pada 25 Februari lalu, sehari selepas kejadian itu diketahui umum.
“Tindakan segera diambil dan individu berkenaan juga sudah didakwa di mahkamah hari ini.
“Kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang bentuk penghinaan agama Islam khususnya terhadap kitab suci al-Quran,” katanya pada taklimat media Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, lapor BH.
Seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul berkata, Malaysia adalah negara hukum yang ditadbir berlandaskan undang-undang dan keadilan menuntut proses pengadilan yang telus tanpa penghukuman melulu.
“Keadilan hakiki menuntut proses pengadilan yang telus, bukannya penghukuman tanpa usul periksa.
“Justeru, PMO menggesa semua masyarakat agar merujuk sumber yang benar dan boleh dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat serta tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan tohmahan yang tidak disokong fakta.
“Pada masa sama, orang ramai perlu memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil dan telus; serta tidak memperalat kesucian agama bagi kepentingan politik kepartian,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengingatkan orang ramai supaya mengambil peluang Ramadan untuk memperkukuh ukhuwah, menjaga keharmonian dan menambah amal ibadah serta menghindari perkara-perkara yang boleh merosakkan kesejahteraan masyarakat termasuk fitnah dan berita palsu.
“Alhamdulillah, kita berada di bulan Ramadan al-Mubarak, bulan yang menuntut umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan, kesabaran, dan memupuk semangat rahmah sesama kita.
“Semoga ibadat puasa diterima dan dipermudahkan di samping terus berusaha membawa kemakmuran yang berterusan untuk negara,” katanya.


