Kayu hutan, peralatan lebih RM2juta dirampas dalam serbuan kilang proses kayu haram

SEBUAH kilang memproses kayu hutan secara haram diserbu pasukan penguat kuasa dalam operasi bersepadu membabitkan nilai rampasan lebih RM2 juta di Chukai, Terengganu hari ini.

Operasi sekitar jam 11.34 pagi itu dijalankan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Timur, bersama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi ini dijalankan hasil maklumat dan risikan yang diperoleh.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing yang berada di premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan termasuk semakan dokumen berkaitan pelbagai jenis kayu yang disimpan serta aktiviti pemotongan dan pemprosesan kayu di dalam kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan yang merupakan pengurus dan penyelia kilang gagal mengemukakan sebarang dokumen sah dan diiktiraf berkaitan pemilikan, penyimpanan serta pemprosesan hasil hutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosli berkata, susulan itu, kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut manakala lima pekerja warga asing turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Dalam operasi itu, pasukan serbuan merampas pelbagai jentera dan peralatan termasuk jentera Mitsubishi dan Caterpillar, beberapa lori pelbagai jenama, mesin chain saw, compressor, mesin pemotong kayu serta sejumlah besar kayu selinap, kayu sedia dan kayu balak pendek pelbagai saiz dan spesies.

“Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Perhutanan Negeri Terengganu pada jam 5.30 petang untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, anggaran nilai rampasan membabitkan mesin dan peralatan sebanyak RM226,000, kenderaan sebanyak RM1,760,000 serta kayu balak dan spesies kayu sebanyak RM37,400 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM2,023,400.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 68, Akta Perhutanan Negara 1984 serta Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985. Operasi ini dilaksanakan secara pendekatan REFORM dengan penglibatan pelbagai agensi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Operasi Bersepadu ini membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dalam membanteras kegiatan pembalakan dan pemprosesan kayu secara tidak sah,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img