YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid UPNM ketika berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di ibu negara, malam ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda bersama Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj pada jam 7 malam disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi UPNM dan tetamu-tetamu kenamaan.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan acara perasmian masjid oleh Seri Paduka Baginda sebelum berangkat menyertai jamuan berbuka puasa.

Sultan Ibrahim turut menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama warga UPNM di masjid berkenaan.
Keberangkatan pulang Baginda kira-kira jam 8.10 malam menutup majlis yang berlangsung selama sejam.
Pembinaan Masjid UPNM Sultan Ibrahim bermula pada Mei 2022 dan siap sepenuhnya pada Jun 2024 dengan kos pembangunan dianggarkan RM16 juta.
Masjid berkenaan yang dibina di atas tapak seluas 0.8 hektar dengan keluasan lantai 3,760 meter persegi itu mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada satu masa.
Sebagai pengiktirafan, masjid yang menampilkan seni bina Islamik moden ini telah dinamakan bersempena Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ia selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Islam, selain mengambil kira keperibadian dan kepimpinan Baginda yang terserlah melalui keteguhan prinsip serta wawasan yang jauh dalam menerajui negara.


