SEORANG lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM277,00 apabila diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi dikendalikan seorang individu dikenali sebagai Miss Nina.
Mangsa yang berusia 87 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 4.55 petang semalam selepas menyedari dia menjadi mangsa penipuan pelaburan itu yang disertainya sejak September lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang tinggal di Kuala Terengganu ternampak satu iklan pelaburan saham dalam aplikasi WhatsApp kira-kira jam 11 pagi pada 18 September tahun lalu.
Menurutnya, mangsa tertarik dengan tawaran dikemukakan dalam iklan itu dan berminat menyertai pelaburan berkenaan serta berurusan dengan seorang individu dikenali sebagai Ms Nina.
“Bermula 13 November hingga 24 Disember tahun lalu, mangsa telah membuat beberapa kali pemindahan wang ke dalam dua akaun berbeza berjumlah RM95,000 dan RM182,000.
“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan yang ditawarkan, malah mangsa kerugian berjumlah RM277,000,” katanya.
Tambah beliau, mangsa sanggup mengeluarkan wang simpanan dan simpanan Tabung Haji untuk menyertai pelaburan tersebut.
Menurut Azli, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


