Pemandu e-hailing ‘kantoi’ berkhalwat, sanggup sembunyi atas siling

SEORANG pemandu e-hailing cuba bersembunyi di atas siling rumah bagi mengelak ditahan, namun akhirnya ‘kantoi’ selepas disyaki berkhalwat dengan seorang wanita yang masih berstatus isteri orang dalam serbuan di sebuah rumah teres di Johor, semalam.

Pasangan itu ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hasil aduan awam di sebuah rumah teres dalam daerah berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketika serbuan dilakukan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan bersembunyi di atas siling selepas cubaan melarikan diri melalui pintu belakang gagal kerana kawasan rumah sudah dikepung anggota penguat kuasa.

Menurut JAINJ, operasi dijalankan susulan aduan orang awam mengenai kehadiran kerap lelaki yang bekerja sebagai pemandu e-hailing ke rumah wanita berusia 30-an itu ketika suaminya keluar bekerja manakala anaknya berada di sekolah.

Difahamkan, lelaki terbabit meletakkan keretanya kira-kira satu kilometer dari rumah wanita berkenaan bagi mengelak kehadirannya disedari jiran atau penguat kuasa.

“Sebaik tiba di pekarangan rumah, anggota hanya menemui kereta milik wanita itu dan pintu pagar hadapan juga tidak berkunci.

“Dua anggota ditugaskan mengawal pintu belakang bagi mengelakkan mana-mana individu melarikan diri. Anggota turut mendapati enjin kereta wanita itu masih panas kerana baru sahaja digunakan untuk menjemput lelaki terbabit,” menurut kenyataan JAINJ.

JAINJ berkata, selepas kira-kira 10 minit mengetuk pintu, seorang wanita berpakaian seksi keluar sebelum ditegur oleh anggota penguat kuasa wanita supaya menukar kepada pakaian lebih sopan.

“Wanita itu pada mulanya mendakwa berada seorang diri kerana suaminya bekerja di luar kawasan manakala anaknya ke sekolah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dalam rumah menemukan siling di sebuah bilik dalam keadaan terbuka sebelum anggota penguat kuasa menggunakan kerusi untuk naik ke atas dan menemui seorang lelaki yang sedang bersembunyi.

“Lelaki itu dilihat memeluk tiang berhampiran tangki air ketika ditemui,” katanya.

Menurut JAINJ, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sudah berkahwin dan bekerja sebagai pemandu e-hailing secara sambilan, manakala pasangan itu dipercayai berkenalan hampir setahun tanpa pengetahuan pasangan masing-masing.

“Kedua-dua mereka kemudian ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img