KERAJAAN menekankan keperluan semua menteri untuk lebih proaktif dalam mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri bagi menangani cabaran ekonomi semasa.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini termasuk perkembangan hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri menegaskan pendekatan libat urus seperti dilaksanakan Kementerian Pengangkutan bersama sektor penerbangan perlu diperluaskan ke sektor lain.
“Perkembangan semasa termasuk situasi di Asia Barat memberi kesan kepada beberapa sektor tertentu seperti penerbangan, justeru sesi libat urus penting bagi mendapatkan maklum balas industri,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, semua dapatan daripada sesi berkenaan akan dikumpulkan dan dianalisis secara menyeluruh bagi merangka hala tuju serta menentukan bentuk bantuan atau intervensi kerajaan yang bersesuaian.
Dalam pada itu, Jemaah Menteri turut menerima laporan awal mengenai pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (work from home) bagi sektor awam.
Fahmi berkata, laporan tersebut dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan input daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Menurutnya, Perdana Menteri meminta supaya cadangan berkenaan diperincikan dengan lebih rapi sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan datang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Keutamaan akan diberikan kepada sektor-sektor bukan kritikal, dan Perdana Menteri mahu cadangan ini diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.


