KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Bahagian Penguat Kuasa, Putrajaya mengadakan operasi pemeriksaan dan serbuan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] pada 13 Mac lalu, di sebuah premis yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan jam tangan berjenama tiruan di sekitar ibu negara.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil risikan hampir sebulan, dengan operasi turut dijalankan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 790 unit jam tangan pelbagai jenama terkenal disyaki tiruan berjaya disita.
“Turut dirampas adalah kotak, beg kertas berjenama serta barangan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan penyimpanan dan penjualan produk berkenaan, dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM790,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azman, siasatan awal mendapati kegiatan itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang merupakan pengurus premis.
Suspek dipercayai bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi termasuk pengurusan premis, stok barangan serta aktiviti penjualan.
Modus operandi kegiatan itu melibatkan operasi secara tertutup di premis dua tingkat, dengan bahagian bawah dijadikan bengkel pembaikan dan servis jam tangan, manakala tingkat atas digunakan sebagai lokasi penyimpanan serta penjualan jam tangan tiruan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Premis berkenaan dikawal rapi menggunakan pintu kaca berkunci yang hanya boleh dibuka melalui alat kawalan jauh dari dalam, selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Aktiviti penjualan dipercayai hanya dijalankan kepada pelanggan tertentu bagi mengelak daripada dikesan.
Menurutnya lagi, jam tangan tiruan itu dipercayai diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan. Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.
“KPDN ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan kerana ia melanggar undang-undang serta menjejaskan hak pemilik cap dagangan dan kepentingan pengguna,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan barangan tiruan atau pelanggaran harta intelek diseru menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian Call Centre 1-800-886-800 serta aplikasi Ez ADU KPDN.


