Shahril kata hadir tak kena waktu, KJ kata Kulasegaran perlu letak jawatan

BEKAS Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan menyifatkan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran menghadiri prosiding mahkamah melibatkan Arun Dorasamy berlaku ketika waktu tidak sesuai.

Katanya, ia disebabkan keadaan itu berlaku ketika ketegangan kaum sedang memuncak dan berpotensi memperburuk keadaan.

Beliau berkata, tindakan hadir bersama individu yang berdepan pertuduhan memberi ruang kepada persepsi negatif terhadap parti tersebut, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Muslim.

“Dia (Kula) mengesahkan sekali lagi tanggapan bahawa walaupun DAP mencerminkan diri sebagai parti pelbagai kaum, masih ada elemen anti-Melayu. Sah atau tidak itu nombor dua, tetapi tindakan ini memberi peluru kepada tanggapan tersebut,” katanya melalui podcast Keluar Sekejap.

Shahril turut menegaskan dalam situasi semasa, usaha meredakan ketegangan kaum perlu diutamakan berbanding mempertahankan kepentingan politik mana-mana pihak.

“Ini soal ketegangan kaum yang lebih penting daripada nasib politik mana-mana parti,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas Kulasegaran dilihat berada di mahkamah bagi memberi sokongan kepada Arun yang didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Kulasegaran tampil menjelaskan kehadirannya bukan bertujuan menghadiri prosiding, sebaliknya hanya singgah ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan bertemu Arun di luar bilik mahkamah.

“Saya mengenali Arun sejak saya mewakili M Indira Gandhi dalam kes berkaitan anak-anaknya. Saya hanya bertemu Arun sebentar di sekitar kompleks mahkamah sebelum beredar dan tidak berada dalam bilik mahkamah semasa prosiding,” katanya lapor Malaysiakini.

Sementara itu dalam podcast yang sama bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin turut mempersoalkan kewajaran seorang anggota pentadbiran hadir dalam kes melibatkan orang kena tuduh (OKT) dan menyifatkan penjelasan diberikan sebagai tidak munasabah.

Menurutnya, isu itu menjadi lebih sensitif apabila dibandingkan dengan layanan berbeza terhadap Zamri Vinoth dalam kes lain, termasuk isu pemakaian gari ketika dibawa ke mahkamah.

Khairy yang baru-baru ini memohon menyertai semula Umno selepas dipecat pada 2023 berpandangan perbezaan tersebut berpotensi mengukuhkan persepsi wujud ‘pilih kasih’, sekali gus mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam mengurus persepsi awam, terutama dalam keadaan ketegangan kaum yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, Khairy mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas, termasuk menggugurkan Kulasegaran daripada jawatan bagi meredakan keadaan.

Pada masa sama, Khairy turut menggesa kepimpinan DAP, termasuk Setiausaha Agungnya Anthony Loke, supaya bertindak lebih proaktif bagi melindungi imej parti daripada terus terjejas.

Katanya, kegagalan menangani isu ini secara berkesan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap usaha memulihkan persepsi terhadap DAP.

“Imej DAP juga tercalar walaupun Shahril tidak mahu menjadikannya sesuatu yang bersifat parti politik. Memang akan tercalar.

“Saya rasa ini pandangan sayalah, untuk Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP, dia patut minta Kulasegaran juga meletak jawatan. Sebab kalau nak selamatkan DAP daripada persepsi bahawa DAP ni, ada tanggapan anti-Melayu, anti-Islam dan sebagainya.

“Loke patut pre-empt perdana menteri sendiri dengan meminta Kulasegaran untuk step down. Sukar untuk DAP bangkit semula daripada isu ini jika tidak ditangani dengan segera. Ini satu garis merah yang besar,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img