PKR sedia beri kerjasama penuh isiu ahli didakwa terlibat salah laku

PKR sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan penglibatan ahli parlimen parti itu dalam kes salah laku melibatkan transaksi berjumlah RM10 juta.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata kepimpinan parti telah dimaklumkan mengenai laporan berita berhubung dakwaan tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kami belum ada mesyuarat (mengenai perkara ini), namun kepimpinan telah dimaklumkan mengenai laporan berita tersebut. Sekiranya ada (salah laku), kita serah kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan.

“Kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan parti akan memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, hari ini,

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang salah laku.

Beliau berkata, prinsip itu terpakai kepada mana-mana kelompok, termasuk ahli parti atau ahli parlimen dalam kalangan blok kerajaan sendiri.

Fahmi menjelaskan, sebarang proses siasatan perlulah bermula dengan laporan rasmi daripada pihak pengadu kepada badan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Terpulang kepada pengadu untuk membuat laporan polis atau kepada mana-mana badan penguatkuasaan yang lain. Itu ialah proses yang mesti dilalui sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Semalam, media melaporkan ahli perniagaan Victor Chin Boon Long mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta dia menyediakan wang tunai bernilai RM10 juta bagi menyelesaikan skandal terbabit.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img