PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lubnan.
Sehubungan itu beliau berkata, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan.
‘’Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat,’’ katanya melalui Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran Masound Peszeshkian.
Perdana Menteri berkata, Malaysia merakamkan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, di samping nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam.
‘’Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran. Dalam masa yang sama, Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini,’’ katanya.
Malaysia kata Anwar, mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan.
‘’Saya turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad. Saya turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia, dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini. Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,’’ katanya.


