TINDAKAN penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu sebuah rumah pada jam 2 pagi semalam membawa kepada penahanan individu disyaki khalwat selepas pintu premis terpaksa dipecahkan.
Jurucakap JAINJ berkata, tangkapan khalwat itu susulan aduan orang awam melalui panggilan telefon.
“Apabila penguat kuasa JAINJ tiba di lokasi, mereka mengetuk pintu hadapan, namun tidak dibuka hampir sejam menunggu dan terpaksa memotong mangga jeriji.
“Pemeriksaan bilik utama ditemukan seorang wanita duduk di sebelah katil berpakaian seluar panjang dan baju lengan panjang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati pasangan terbabit bukan muhrim, lelaki berusia 30-an sudah beristeri dan wanita juga berusia 30-an adalah janda serta bekerja dan juga tinggal di daerah ini.
Jurucakap JAINJ berkata, rumah berkenaan adalah inap desa atau homestay milik lelaki berkenaan dan memberi alasan dia menghantar wanita terbabit untuk menyewa serta esoknya beraya di rumah kawannya.


