HASRAT seorang lelaki untuk pulang makan tengah hari bersama isterinya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Felda Umas 2, Merotai, dekat Tawau, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Basri Patawari, 47, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersama isterinya berusia 40 tahun dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke Kampung Felda Umas 2.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal Honda Vario dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas mengelak bonggol sebelum bertembung dengan motosikal dinaiki pasangan suami isteri berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang Honda Vario berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Wad Ortopedik Hospital Tawau.
“Mangsa turut mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Tawau, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa bukan warganegara Malaysia serta tidak memiliki lesen memandu yang sah selain tidak memakai topi keledar bersama pembonceng ketika kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.


