JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 21 warga asing dalam satu operasi di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Sungai Petani, semalam kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
JIM dalam kenyataan memaklumkan lokasi berkenaan dipercayai menjadi ‘port’ lepak warga asing terutama pada hujung minggu.
Menurutnya, dalam Op Kutip yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seramai 127 warga asing telah diperiksa, namun hanya 21 individu terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India ditahan kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pegawai operasi, namun gagal kerana kawasan itu telah dikepung dan dikawal rapi oleh anggota penguat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, operasi dijalankan susulan aduan orang awam mengenai kehadiran warga asing yang menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung, khususnya pada hujung minggu.
JIM Kedah menegaskan tidak semua warga asing adalah pendatang asing tanpa izin (PATI), dan pemeriksaan kali ini membuktikan hanya sebahagian kecil yang melanggar undang-undang.
Sehubungan itu, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan pemeriksaan berkala di seluruh negeri bagi membendung kebanjiran PATI serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.


