SEEKOR buaya jantan hampir lima meter berjaya ditangkap selepas hampir dua jam operasi oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama penduduk di Tongkang Pechah, Batu Pahat, petang semalam.
Reptilia itu dipercayai tersesat sebelum ditemui seorang pekerja kilang yang sedang berehat berhampiran lokasi kira-kira jam 6.50 petang.
Lans Koperal APM Batu Pahat, Mohd Norazzim Mohd Khalid berkata, enam anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
Menurutnya, buaya terbabit didapati terperangkap dalam parit yang airnya kering akibat musim kemarau.
“Kita dapati reptilia itu sudah tua kerana tiada gigi, namun masih agresif ketika cuba ditangkap. Kami menggunakan tali untuk menjerut mulutnya sebelum menarik ke darat dengan bantuan kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, sebaik dinaikkan ke darat, buaya itu masih bertindak agresif dan beberapa kali berpusing, namun berjaya dikawal hasil kerjasama penduduk.
Katanya, reptilia itu kemudian dibawa ke pejabat APM sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang penduduk, Wahyu Hidayat Hamdan, 45, berkata dia bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan rakan dan mendapati buaya berkenaan masih berada dalam parit yang hampir kering.
“Saya lihat buaya itu agak besar dan sukar untuk ditarik ke darat walaupun ramai membantu,” katanya.


