MISI Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza bersama Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk Gaza yang terjejas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, misi itu melibatkan penghantaran 374 tan bantuan kecemasan, menerusi 30 kontena hasil sumbangan orang ramai, syarikat, Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Anggaran kita, sekitar 100,000 rakyat Gaza akan mendapat manfaat sekiranya misi ini berjaya dilaksanakan. Ia juga diharap membuka laluan lebih luas kepada bantuan kemanusiaan yang sebelum ini tersekat.
“Ini bukan hanya satu misi peribadi ataupun misi kelompok ataupun mana-mana kumpulan, tetapi saya percaya ia membawa mesej kepada ummah dan juga kepada kemanusiaan seluruh dunia,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Melalui Facebook, Amirudin berkata, bantuan itu disusun bagi memenuhi keperluan asas rakyat Gaza yang berdepan kepungan berpanjangan serta sekatan kemasukan bekalan, khususnya di sempadan Rafah.
‘’Bantuan ini adalah hasil dari sumbangan jutaan rakyat Malaysia, termasuk syarikat, NGO, serta Kerajaan Negeri. Malaysia juga mencatat sejarah sebagai negara pertama yang menyertai misi ini secara kolektif sebagai sebuah negara, merangkumi komitmen menyeluruh daripada Kerajaan, agensi, NGO serta rakyat Malaysia,’’ katanya.
Beliau berkata, Misi Global Sumud Flotilla 2026 kali ini menghimpunkan lebih banyak penyertaan berbanding tahun lalu dengan penglibatan 100 buah negara.
‘’ Misi Sumud Nusantara 2026 ini adalah pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza, di samping menggerakkan diplomasi kemanusiaan secara proaktif di peringkat antarabangsa.
‘’Saya memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik agar kita bersatu atas nama kemanusiaan demi keamanan sejagat,’’ katanya.


