AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal persiaran yang menjalankan aktiviti sunset cruise selepas didapati membawa penumpang melebihi had dibenarkan, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penahanan dibuat kira-kira jam 5.20 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia yang ketika itu menjalankan rondaan rutin pada kedudukan 0.3 batu nautika di timur Pulau Bumbon Besar.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan.
“Kapal persiaran itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima kru tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli memberitahu, kesemua individu terbabit bersama vesel dan barang kes telah ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia Kedah dan Perlis bagi tujuan siasatan lanjut.
Beliau dalam pada itu menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan keselamatan, khususnya melibatkan aktiviti pelancongan yang boleh mengundang risiko kepada nyawa penumpang.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.


