Bekas eksekutif jualan ‘songlap’ lebih RM1 juta didakwa

SEORANG bekas pegawai eksekutif jualan sebuah syarikat perumahan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah membabitkan wang hasil jualan syarikat melebihi RM1 juta.

Tertuduh, Rafidah Abdul Hamid, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyalahgunakan wang antara RM73,000 hingga RM317,610 bagi kepentingan peribadi.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Ibrahim Johor Bharu antara 30 Mei 2022 hingga 15 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun hingga maksimum 14 tahun, selain sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pengurus syarikat berusia 63 tahun membuat laporan polis pada 31 Mac lalu selepas menerima panggilan daripada sebuah firma guaman berhubung perjanjian jual beli hartanah membabitkan dua individu.

Semakan dalaman mendapati tiada rekod rasmi urusan berkenaan dalam sistem atau akaun syarikat.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh yang berkhidmat sejak 2021 dipercayai menerima wang daripada seorang pembeli pada Januari 2024, namun tidak menyerahkannya kepada bahagian akaun atau memasukkannya ke dalam akaun rasmi syarikat.

Tertuduh turut didakwa memalsukan tandatangan pegawai syarikat dalam dokumen perjanjian jual beli bagi melengkapkan urusan tersebut.

Tertuduh juga dipercayai menggunakan modus operandi sama untuk menerima wang daripada seorang individu lain pada tahun sama.

Kegiatan itu hanya terbongkar selepas syarikat menerima pertanyaan daripada pihak guaman sebelum laporan polis dibuat.

Mahkamah menetapkan 6 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img