PEMANDU treler positif dadah yang terbabit dalam kemalangan di Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru hingga meragut tiga nyawa, didakwa di Mahkamah Majistret Segamat hari ini atas tiga pertuduhan membunuh.
Tertuduh, Muhamad Shafiq Salleh, 29, mengangguk faham sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Amalina Johar.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh S Palamiandy, 77; K Myakrishnan, 72; dan S Sevendai, 62, dalam kejadian di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru–Seremban kira-kira jam 3.50 petang, 2 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dihukum gantung.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Muhammad Ismail Tadj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu kerana masih menunggu beberapa laporan termasuk bedah siasat, perubatan, PUSPAKOM, forensik dan patologi.
Mahkamah membenarkan permohonan itu serta tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh, dengan kes disebut semula pada 21 Mei ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, tiga sekeluarga maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan berhampiran Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru, kira-kira 200 meter dari rumah mereka ketika dalam perjalanan pulang selepas menziarahi saudara di Batu Anam.


