KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menjelaskan penurunan harga minyak mentah global ketika ini belum dapat diterjemahkan kepada penurunan harga runcit di pam kerana mekanisme penetapan harga mengambil kira purata harga minggu sebelumnya.
Menerusi hantaran di Facebook, kementerian itu berkata, harga bahan api di stesen minyak tidak ditentukan berdasarkan harga pasaran semasa semata-mata.

Menurut MOF, bekalan bahan api yang digunakan ketika ini juga dibeli pada harga lebih tinggi sebelum ini, sekali gus masih mempengaruhi harga jualan semasa kepada pengguna.
“Harga minyak global melonjak naik mendadak selama lima minggu menyebabkan kos meningkat termasuk insurans dan logistik.
“Harga semasa masih mencerminkan kos bekalan terdahulu yang tinggi, sekitar AS$150 setong (petrol) dan AS$250 setong (diesel),” menurut hantaran itu.
Walaupun berdepan tekanan kos tersebut, kerajaan tetap mengekalkan harga minyak bersubsidi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta mengawal kenaikan harga barangan di pasaran.
Terdahulu, MOF memaklumkan harga subsidi RON95 di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April ini, manakala harga runcit tanpa subsidi meningkat 40 sen kepada RM4.27 seliter.
Bagi diesel pula, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter, manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung naik 70 sen kepada RM6.72 seliter.


