SEORANG lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori kontena yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak di Kilometer 266.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan dekat Seremban, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu, mangsa berusia 74 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Honda FS150 dari arah Seri Kembangan, Selangor menuju ke Port Dickson.
“Motosikal dikatakan terlanggar bahagian belakang lori membawa muatan habuk batu yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan teknikal ‘timing belt’ terputus.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6033222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


