SEORANG anggota polis berpangkat Koperal yang digantung tugas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini masing-masing terhadap pertuduhan melakukan samun dan cuba merompak, November tahun lalu.
Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad dan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap Nik Zainab Nik Zul Azhar, 34, di kedai runcit di Kampung Kemumin Jalan Sabak, jam 10.30 malam pada 7 November 2025.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat, lapor Buletin TV3.
Dalam prosiding di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa melakukan percubaan rompak ke atas seorang lelaki, Rahman Ubaid di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian, jam 5.15 petang, pada 12 November 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli bagi Mahkamah Sesyen dan Muhamad Nadzir Abdullah untuk Mahkamah Majistret, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Mahkamah Sesyen dan Majistret masing-masing membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 serta RM7,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah Sesyen menetapkan 28 Jun depan dan Mahkamah Majistret pula tetapkan tarikh 4 Mei untuk sebutan semula kes.
Di MELAKA, seorang pegawai kanan tentera berpangkat mejar didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk kepala seorang wanita yang dipercayai teman wanitanya, tahun lalu.
R Rajakogillan, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita berusia 44 tahun itu dengan menumbuk bahagian belakang kepala mangsa sebanyak tiga kali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Taman Terendak Heights, Masjid Tanah, kira-kira jam 7.30 malam pada 5 Oktober 2025.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Jee Chee, yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mengaku bersalah pada peringkat awal, sekali gus menjimatkan masa mahkamah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang ramai.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.


