MAHKAMAH Majistret Muar hari ini menjatuhkan hukuman terhadap seorang jurujual kereta selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan bahan pornografi berupa gambar dan video bogel seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
Majistret Kartini Kasran kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tan Yean Xuen, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Tertuduh kemudiannya membayar denda itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa dalam milikannya berupa pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada jam 6 petang, 7 Jun lalu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Berdasarkan fakta kes, lelaki berusia 49 tahun yang juga bapa kanak-kanak terbabit memeriksa telefon bimbit dan mendapati anaknya menghantar gambar serta video bogel kepada seorang lelaki tidak dikenali.
Disebabkan bimbang gambar dan video anaknya disalahgunakan, lelaki terbabit kemudiannya membuat laporan polis.
Pada jam 1.30 tengah hari keesokan hari, polis berjaya menahan tertuduh di Bandar Puteri, Klang, Selangor sebelum dibawa ke IPD Muar untuk tindakan lanjut.
Pemeriksaan menemukan beberapa keping gambar serta video kanak-kanak dalam telefon bimbit tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala tertuduh diwakili peguam, Fatimah Zahra Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).





