SEORANG remaja lelaki warga Indonesia dihukum penjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini selepas didapati bersalah membunuh kekasihnya yang juga rakan senegara di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos berkata, hukuman itu diperuntukkan mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas mahkamah meneliti keseluruhan fakta kes, kepentingan awam serta laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurut beliau, kepentingan awam dalam kes tersebut mengatasi faktor mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Tawau mensabitkan tertuduh bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah berpuas hati bahawa keseluruhan keterangan dan bukti jelas menjurus kepada tertuduh, manakala alibi yang dikemukakan tidak memenuhi beban pembuktian yang ditetapkan.
Remaja yang kini berusia 16 tahun itu didakwa membunuh mangsa, Nur Zahirah Safarudin, 13, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023 di kawasan ladang berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemukan di dalam parit dengan kesan kecederaan di kepala.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Liew Hon Min.


